Monday, February 27, 2012

Apa itu halaman web?


Halaman Web (atau website) adalah dokumen digital yang diterbitkan ke dalam internet. Sesebuah halaman web dihasilkan dan diterbitkan menggunakan teknologi pengaturcaraan dan perisian khas bagi membolehkannya dicapai menggunakan media internet (rangkaian komputer sejagat).

Apakah perisian yang perlu digunakan untuk mencapai (buka) halaman web?

Sebuah perisian yang digelar Pelayar Web (web browser) perlu digunakan bagi membaca sesebuah halaman web. Contoh pelayar web yang popular adalah Internet Explorer, Firefox Mozilla, Google Chrome, dan Opera. Sesebuah pelayar web berfungsi dengan menterjemah bahasa pengaturcaraan web dan menukarkannya kepada dokumen yang boleh dibaca (difahami) oleh pengguna.

Apakah teknologi (bahasa) perngaturcaraan web?

Ada 2 teknologi pengaturcaraan yang digunakan:
1. Bahasa Pengaturcaraan Server-Side
2. Bahasa Pengaturcaraan Client-Side

Contoh bahasa pengaturcaraan server-side adalah seperti: JSP (Java Server Pages), ASP.net, ASP (Active Server Pages), PHP (PHP HyperText Preprocessor), dan CFM (ColdFusion Markup Language). Bahasa ini digunakan untuk melaksanakan tugas di dalam komputer server yang menyimpan halaman web. Antara tugas yang dilaksanakan bahasa-bahasa ini adalah capaian data sensitif dari pangkalan data (database) yang biasanya dilindungi oleh katalaluan. Bahasa server-side akan mencapai data dari komputer server dan menukarkannya kepada bahasa client-side untuk paparan pengguna.

Bahasa pengaturcaraan client-side pula adalah bahasa yang digunakan bagi menghasilkan paparan web untuk capaian pengguna. Contoh bahasa ini adalah: HTML (HyperText Markup Language), CSS (Cascading Style Sheet), dan JavaScript. Ia membenarkan seseorang pengaturcara untuk menghasilkan rekaletak dan hiasan menarik bagi sesebuah halaman web.

Bagaimana sesebuah halaman web disimpan dan dicapai melalui internet?

Sesebuah halaman web yang ingin diterbitkan untuk capaian umum perlu disimpan di dalam sebuah komputer server. Server ini harus boleh dicapai 24 jam sehari / 7 hari seminggu tanpa henti. Bagi membolehkan sesebuah server menguruskan sesebuah halaman web, ia perlu dilengkapi dengan perisian Web Server. Sesebuah perisian web server diperlukan bagi menterjemah bahasa server-side kepada bahasa yang boleh dicapai oleh pengguna biasa (client-side). Selain itu, perisian Database Server juga diperlukan sekiranya halaman web yang hendak dibangunkan memerlukan perlindungan data dan pengurusan data yang cekap.

No comments:

Post a Comment